Tuesday, March 18, 2008

Ayah


#Paklong dan ayah(berbaju oren)

Kerana Ayah

Oleh:Yussamir Yusof
Cyberjaya
www.yussamir.com



Saya bukanlah pelajar genius, yang sentiasa memahami dan mengingat apa yang dipelajari sepintas lalu. Saya juga bukanlah seorang budak lelaki yang mempunyai impian dan cita-cita besar ketika kecil. Ketika saya di bangku sekolah rendah,saya hanya berada di kalangan pelajar-pelajar yang nakal dan tidak secerdik pelajar yang berada di kelas Arif. Kelas cemerlang adalah kelas yang biasa saya masuki. Kelas Arif iaitu kelas pertama di SEDC tidak ada apa-apa yang istimewa bagi saya. Bagi saya cukuplah saya ke sekolah dan belajar benda baru setiap hari. Kadang-kadang berasa kecut pula untuk ke sekolah, kerana kerja yang diberi oleh cikgu tidak disiapkan. Sehinggalah ketika saya berumur 12 tahun,saya ditempatkan di kelas 6 Arif, kelas pertama yang tak pernah saya idamkan sejak memasuki sekolah rendah. Orang pertama yang gembira dengan berita itu ialah ibu dan ayah saya. Kedua-dua insan ini tak pernah memarahi saya ketika saya sentiasa mendapat markah yang teruk dalam setiap peperiksaan. Malahan merekalah yang memberi semangat dan dorongan kepada saya. Walaupun ayah saya kurang bersama saya dan kurang memberi nasihat dan kata-kata semangat seperti ayah-ayah lain. Dia tetap mengikuti perkembangan pembelajaran saya melalui ibu. Ayah sangat sibuk,sehinggakan saya pernah merajuk dengannya kerana tidak pergi ke program motivasi yang dianjurkan oleh sekolah.Ketika itu saya tidak memahami lagi kesibukan dan kepayahan ayah, yang menyabung nyawa di luar bertugas sebagai pegawai polis. Saya merajuk,tapi ayah tidak pernah memujuk. Di hati ini berasa seperti tidak dihargai ketika itu,yang akan datang memujuk saya ialah ibu.


Nilai sebuah kesusahan

Saya tidak tahu kenapa ayah bersikap begitu pada saya,adakah dia tidak menyayangi saya? Persoalan-persoalan itu terus bertubi-tubi menerpa kedalam minda saya ketika itu. Selepas UPSR, dengan keputusan yang tidak memberasangkan dan mengecewakan saya dihantar ke sekolah agama swasta di Pontian. Perasaan meronta-ronta tidak dilayan oleh ayah,ibu hanya mampu menasihati saya agar sabar dan belajar untuk berdikari. Dua bulan saya menangisi dan berasa tertekan dengan suasana baru di asrama. Makan yang dicatu, mandi berebut-rebut dan sikap senior-senior yang menakutkan membuatkan saya terus bertambah tertekan. Kehidupan yang penuh dengan cabaran dan tertekan,saya tabah dan terus menyiapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan. Dengan keadaan yang tidak seselesa seperti dirumah,dan persaingan dalam pelajaran, pada awalnya merunsingkan saya.Tapi lama-kelamaan keadaan itu menjadi perkara yang membahagiakan kepada saya. Saya semakin kuat berusaha,dan semakin kuat dalam menghadapi cabaran dan ujian. Peperiksaan pertengahan tahun di Maahad Tahfiz saya berjaya mendapat tempat 2 bagi kelas tahfiz (di sana pelajar dibahagikan kepada dua,iaitu kelas tahfiz dan kelas biasa),dan berjaya menghafal Quran sebanyak 2 helai dalam masa 10 minit. Ramai yang memuji-muji saya dengan mengatakan saya Genius! Tapi saya menafikan sekeras-kerasnya,kerana saya tahu saya bukan genius. Saya sendiri tidak tahu mengapa saya boleh menjadi begitu,saya sendiri bingung. Begitu juga pada peperiksaan-peperiksaan yang mendatang,saya terus berjaya menempatkan diri dalam kalangan 3 pelajar terbaik. Ayah saya tidak pernah memuji saya,dia hanya menasihati saya agar belajar dengan lebih keras dan jitu. Dia tersenyum dan terus tersenyum dan saya pula kecewa kerana disuruh belajar dengan lagi keras pula.


Sekalung ucapan tahniah
dan sebuah pemahaman

Sehinggalah pada saat saya berjaya dengan keputusan yang sangat cemerlang dalam Peperiksaan Matrikulasi,barulah ayah saya mengucapkan tahniah dan memeluk saya. Dan pada ketika itu,saya sangat gembira dan saya tidak mahu penjelasan beliau mengapa beliau bersikap tidak enak pada saya sebelum ini. Tanpa penjelasan dari beliau,saya sudah berjaya mendapat tahu mengapa ayah saya berbuat begitu. Kata ibu, sepanjang saya berada di asrama,ayah saya tidak putus-putus menceritakan akan kejayaan saya pada adik-beradi saya dan rakan-rakannya.Tidak putus-putus juga dia berbangga yang anaknya ini sudah berjaya menghafal separuh dari keseluruhan Quran. Bila dikatakan saya genius oleh rakan atau saudara-saudara yang lain,ayah saya jawab, “dia bukan genius tapi dia kerja keras.Itu sebab dia boleh berjaya,dia berjaya kerana dia tidak berada dalam keadaan selesa.Itu sebab aku hantar dia ke asrama dan tak pernah nak puji depan-depan dia.” Saya menitiskan air mata bila ibu menceritakan ini pada saya dan sebuah kefahaman terhadap insan bernama ayah terus kembang mekar didalam diri ini.

Memang benar kata ayah, saya berkerja keras.Saya sedar yang saya bukan genius,sebab itu saya berkerja keras untuk mencapai apa yang saya idamkan. Pada awalnya,kerja keras saya selama ini terdidik atas kedinginan sikap ayah pada saya,dan atas keputusan ayah memasukkan saya ke asrama.Namun lama-kelamaan kerja keras itu terus sebati dengan diri saya.Saya kerja keras kerana saya tahu dengan kerja keras barulah saya akan dapat apa yang saya mahukan. Berkat doa dan kasih sayang ibu bapa saya dan berkat pertolongan ustaz dan guru-guru yang tidak pernah jemu-jemu mendidik saya, saya berjaya dengan cemerlang dalam semua peperiksaan;PMR dan SPM dan kini berada di menara gading.


“Yang pipih tidak akan datang melayang”
“yang bulat tidak akan datang bergolek”

Apa yang saya mahu sampaikan dalam artikel kali ini bukanlah untuk meninggi diri atau berbangga dengan kejayaan saya. Namun ,sebagai satu peringatan dan pengajaran bahawa manusia itu diciptakan pasti ada kelebihan dan kekurangan. Dalam setiap kekurangan akan pasti terselit kelebihan, yang boleh menengelamkan kekurangan yang terdapat pada diri seseorang. Usaha dan terus bersandar kepada Allah adalah teras kehidupan. Sesuatu yang ingin kita capai,bukan hanya sekadar berdoa dan mengharapkan ia datang bergolek.Tetapi usaha yang keras dan berterusan adalah faktor membuatkan apa yang ingin dicapai akan digapai. Betapa ramai orang diluar sana yang tidak pernah cuba untuk mengenali potensi diri masing-masing. Bahkan ada yang secara sindir mengatakan, “dah tak pandai nak buat macam mana?”. Kenapa kita tidak berkata, “Kenapa aku tidak pandai?” Kemudian cari punca mengapa kita tidak dapat berjaya seperti orang lain. Sesuatu masalah pasti ada punca yang menyebabkannya,Allah tidak pernah menjadikan sesuatu tanpa sebab,kerana semua yang DIA cipta bukan sia-sia.

DON’T UNDERESTIMATE diri sendiri,kita seharusnya ada cita-cita yang besar. Kejayaan seseorang sebenarnya ditentukan oleh sebesar manakah hasrat, sasaran, kehendak ,azam, objektif dan cita-cita yang tertanam dilubuk hati. Oleh sebab itu,kita jangan pandang rendah pada diri kita!


“Rezeki secupak takkan jadi segantang”
“Ulat dalam batu pun boleh hidup”

Peribahasa ini sering kali diucapkan oleh orang yang tidak mahu berusaha.Hanya menganga dari pagi hingga ke petang menunggu orang untuk menyuapkan nasi kedalam mulut. Bagi saya,manusia tidak boleh berhenti beruasaha. Kerana kita tidak pernah tahu berapa banyak rezeki yang Allah telah sediakan untuk kita.Allah hanya mengarahkan kita mencari rezeki,tetapi Allah tidak pernah memberitahu sukatan rezeki yang telah ditetapkan. Kata Allah, “Apabila telah ditunaikan shalat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung.[1]”. Malahan Nabi Muhammad saw sendiri pernah mendoakan Anas bin Malik agar rezekinya bertambah-tambah. Doa Nabi saw, kepada Anas bin Malik “Ya Allah,Banyakkanlah hartanya dan anak-anaknya serta berikanlah keberkatan apa yang Engkau telah berikan kepadanya". [2]

Atas dasar inilah manusia harus terus berusaha dan berkerja keras untuk mendapat apa yang dimahukan,tidak boleh sesekali berhenti berusaha. Memang benar,berasa cukup itu adalah satu perkara yang bagus kerana menolah sikap tamak Islam menolak sikap tamak tetapi sedarlah bahawa Islam juga tidak pernah menyuruh umatnya goyang kaki dan berpeluk tubuh tanpa melakukan apa-apa. Nabi Muhammad saw sendiri pernah berdoa agar terlindung dari kefakiran. Kata Nabi saw, “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan kepada-Mu daripada kefakiran, dan aku memohon perlindungan kepada-Mu daripada kekurangan dan kehinaan, dan aku memohon perlindungan kepada-Mu daripada menzalimi atau dizalimi[3].

Akhir kata,kejayaan itu bukan datang secara tiba-tiba. Ia perlukan sebuah pengorbanan dan kefahaman yang jelas. Kerja keras yang berterusan dan sentiasa berserah diri pada yang Maha Esa adalah aspek penting dalam kehidupan kepada orang yang ingin berjaya,sama ada di dunia atau akhirat. Ingatlah,Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri[4]”.

WaAllahualam.....








_______________________________________________________

[1] Al-jumaah :10

[2] (Hadits Riwayat Bukhari 7/152, 154,161-162. dan lain-lain).

[3] (Shahih Riwayat Abu Dawud No. 1544, Ahmad 3/305,325. Nasa'i, Ibnu Hibban No. 2443. Baihaqi 7/12).

[4] Ar-raad :11

3 comments:

  1. Assalamualaikum.

    Tersentuhnya dengan kisah saudara, kerana kita berkongsi kisah silam yang hampir sama. Sikap keras dan dingin abah dan mama yang 'mencabar' akak untuk berusaha lebih, maka telah memungkinkan kaki ini melangkah ke Menara Ilmu, Alhamdulillah. Benarlah, Allah Maha Mengetahui apa jua hasil sesuatu perkara, hambaNya hanya wajib berusaha kerana bukan hasil itu menjadi nilaian disisiNya tetapi sejauh mana kita menggunakan peluang, kudrat, kurniaanNya yang tidak ada pada makhluk lain yakni akal dan juga tak lupa padaNya. InsyaAllah, Allah tak mensia-siakan usaha hambaNya.=)

    Semoga terus berusaha keras untuk kejayaan dunia dan akhirat. Kerana dunia ini perlu dikumpul seumpama akan hidup selama 1000 tahun tetapi akhirat juga perlu dikejar kerana mana tahu ini detik nafas terakhir.

    Terima kasih untuk artikel ini kerana secara tak langsung memotivasikan diri. Macam tau-tau je tengah berdebar dan sedikit tak keruan nak hadapi exam ni..hehe..semoga Allah bantu..=)

    Wallahualam.

    ReplyDelete
  2. Waalaikumusalam...
    moga artikel ini juga menyuntik semangat akak untuk terus survive selepas grad nnt...Sya sentiasa mndoakan kejayaan dan kecemerlangan akak...Gambattee...

    "Kesusahan memberi nilai yang amat besar dalam kehidupan manusia.."

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum.

    Sungguh tersentuh artikel kali ini.
    Apa yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya.
    Itulah yang 'berlaku' pada diri anda ketika ini.

    mudah-mudahan motivasi ini beri kita semangat dan kekuatan. InsyaAllah.

    Arigatou. Hajimemashite.

    ReplyDelete