Sunday, March 2, 2008

Demokrasi




Demokrasi dalam Islam

Oleh:Yussamir Yusof
Cyberjaya
3 Mac 2008
www.yussamir.com




Demokrasi adalah salah sebuah sistem yang datangnya dari keunggulan Islam. Namun sayang,ada beberapa insan berteriak mengatakan Demokrasi adalah sistem kufur dan batil yang bukan datangnya dari Islam.Saya mengakui bahawa istilah Demokrasi itu memang tidak ada dalam pebendaharaan kata Islamik,namun isinya sudah lama berada dan digunapakai dalam Islam.Perkataan Demokrasi ini lahir daripada perkataan Yunani yang membawa diperintah oleh rakyat. Maksud diperintah oleh rakyat disini ialah,rakyat memilih siapa pemimpin mereka untuk menerajui kerajaan.Sistem pemilihan ini pula dilakukan berdasarkan pengutan suara, yang kebiasaannya dilakukan melalui MENGUNDI.


Ciri-ciri Demokrasi

Demokrasi adalah sebuah proses pemilihan yang melibatkan ramai orang iaini rakyat, dengan tujuan memilih seorang calon yang bakal memimpin dan mengurus mereka.Umumnya rakyat akan memilih calon yang mampu membawa perubahan dan mampu mengurus negara dengan mantap dan baik.Sebaliknya,calon-calon yang tidak berdidikasi,pentingkan diri sendiri dan tidak pandai mengurus kepimpinan,akan ditolak oleh rakyat. Inilah ciri-ciri yang ada dalam Sistem Demokrasi yang sentiasa menyalurkan pelbagai saluran seperti,pemilihan umum,meminta pandangan rakyat,mengutamakan suara majoriti,mempelbagaikan parti politik agar berlaku kesimbangan, KEBEBASAN MEDIA,KEBEBASAN MENGELUARKAN PANDANGAN, dan KEUTUHAN SISTEM PENGADILAN.

#adakah dakwat yang digunakan dalam PRU kali ini dapat membersihkan rekod ketidakadilan dan ketidaktelusan mereka??


Dalam sebuah hadith yang direkodkan oleh Imam Muslim,bahawa Nabi Muhammad saw berkata, “Sebaik-baik para pemimpin kalian adalah pemimpin yang disayangi dan didoakan oleh kalian,dan pemimpin itu juga menyayangi dan mendoakan kalian.Manakala seburuk-buruk pemimpin adalah,pemimpin yang kalian kutuk dan benci dan mereka pula mengutuk dan membenci kalian.”



Demokrasi sejajar dengan Islam

Sebenarnya kita sudah lama dengan sistem ini,cumanya kita tidak perasaan bila dan bagaimana sistem ini kita lakukan dalam kehidupan.Lihat sahaja dalam pemilihan imam dalam solat,makmum diberikan kuasa untuk memilih imam dikalangan mereka.Hanya selepas mendapat persetujuan diatas pemilihan dikalangan makmum,barulah seseorang itu boleh menjadi imam.Dikhabarkan bahawa Nabi Muhammad saw berkata, “Tiga golongan akan mendapat siraman kasturi pada hari kiamat adalah;Hamba yang memenuhi hak Allah dan hak tuannya,lelaki yang mengimami satu kaum dan kaum tersebut MERELAKAN dia menjadi imam,dan seorang lelaki yang mengajak untuk solat lima waktu setiap hari.” (HR Tirmidzi seperti yang tercatat dalam Kitab Nailul Authar karangan Imam Syaukani, dalam bab Memilih dan sifat Imam)

Jika dalam soal siapa imam juga dilaksanakan melalui pemilihan secara demokrasi,inikan pula dalam urusan politik yang bakal menentukan nasib rakyat dan negara.Oleh sebab itu,saya mengutuk sikap sesetengah insan yang sering kali berteriak seperti orang gila mengatakan sisitem Demokrasi adalah kufur dan sesat.Seperti kata al-Imam Yusuf al-Qardhawi, “sangat menghairankan ada sebahagian manusia yang menghukum Demokrasi sebagai kufur yang jelas dan pasti.Padahal dia belum tahu secara tepat apa itu Demokrasi, belum mendalami apa erti sebenar Demokrasi dan isi-isinya.Barangsiapa yang menetapkan hukum tentang sesuatu padahal dia tidak mengetahuinya secara pasti,maka pandangannya itu cacat dan batil walaupun secara kebetulan pandangan dia itu benar.” (Yusuf al-Qardhawi,Feqh Daulah)

Al-Imam menambah lagi, “Orang muslim yang mengajak kepada sistem Demokrasi,dengan pertimbangan bahawa Demokrasi itu adalah sebuah penetapan hukum yang menyatukan dengan prinsip-prinsip politik Islam dalam memilih seorang pemimpin dan menetapkan syura,melaksanakan amar ma’ruf nahi munkar,melawan kebejatan,menolak kederhakaan terutama jika kederhakaan itu menjurus kepada kufur yang jelas berdasarkan bukti keterangan dari Allah.Diantara bukti yang mengukuhkan hal ini adalah,dalam teks undang-undang ada yang menyatakan: “Agama Negara adalah Islam dan syariat Islam menjadi rujukan undang-undang.” Ini menguatkan bahawa kedaulatan Allah dalam menetapkan hukum dan kedaulatan syariat-Nya.Oleh itu,ajakan untuk kepada sistem Demokrasi tidak boleh dianggap sebagai kufur,kerana selagi tidak ada penetangan dengan syariat maka ia dibolehkan.”


Jangan pilih pemimpin yang zalim

Islam menyerang dan menolak kepimpinan yang autokratik dan zalim.Pemimpin yang tidak dapat menerima pandangan dan kritikan adalah pemimpin yang tidak layak diangkat sebagai calon pada pemiliahan raya akan datang.Berdasarkan sebuah hadith dikhabarkan bahawa Nabi Muhammad mengambarkan pemimpin yang sebegini sebagai kera yang melompat.(HR Thabrani,lihat juga dalam Sahihul Jami’ as-Soghir)

Islam juga menolak dan menyanggah rakyat yang memilih dan mendokong pemimpin yang zalim dan dikenali dengan kejahatannya dan penentangannya terhadap Allah dan Rasul. Allah telah mengkisahkan bagaimana DIA telah menghancurkan kaum Ad yang menuruti perintah penguasanya yang menentang Allah dan Rasul. Kata Allah, “Dan itulah (kisah) kaum 'Ad yang mengingkari tanda-tanda kekuasaan Tuhan mereka, dan mendurhakai rasul-rasul Allah dan mereka menuruti perintah semua penguasa yang sewenang-wenang lagi menentang (kebenaran).”

Tambahan lagi,Nabi Muhammad juga ada memperincikan dalam sebuah magnum opus Imam Ahmad,bahawa baginda tidak mengakui sebagai umatnya sesiapa yang mendokong dan membenarkan kezaliman yang dilakukan para pemimpin.Amaran keras ini bukan satu bentuk mainan atau gurauan dari Nabi Muhammad,tapi sebuah pandangan dan perintah untuk umatnya agar tidak tergelincir dari mainan dan tipu daya pemimpin yang zalim.


Ketelusan dan keadilan

Saya sendiri berharap agar demokrasi di Malaysia lebih telus dan adil.Saya sendiri telah jelek dan menyampah dengan ketidakadilan yang berlaku dalam sistem peliharanraya kita sejak dahulu lagi.Baru- baru ini kita dikejutkan dengan pilih kasih SPR terhadap pemimpin yang tidak mendatangani borang pencalonan.Bukan setakat itu,ketidakbebasan media dan ketidakadilan dalam berkempen juga adalah fonemena yang tidak sihat berlaku di negara kita.Saya cemburu dan kagum dengan Demokrasi negara AS dan UK yang sering kita cemuhkan sebagai negara Kufar.Namun,sekafir-kafir mereka,mereka telus dan adil dalam pilihan raya dan benar-benar membawa rakyat berfikir dan menilai kebolehan mereka dalam memimpin tampuk pemerintahan.Teruja dengan debat umum di televisyen antara Senator Barrack Obama dan Senator Hillary Clinton,serta kagum dengan kebolehan mereka dalam mengutarakan idea dan perancangan untuk AS.Bilakah negara Malaysia boleh setelus dan seadil negara Kufar itu?


Akhir kata,saya adalah insan-insan yang mengharapkan demokrasi di Malaysia dapat mewujudkan sebuah kehidupan yang terhormat,dapat menyeru Allah dan kepada Islam yang kita imani tanpa harus menyeret kita ke lembah kehinaan.Disamping,rakyat dapat kehidupan aman,harmoni, bebas, memperoleh hak-hak yang seharusnya dan sentiasa berada dalam berkasih-sayang.


Untuk menutup artikel ini,saya bawakan sifat dan pidato dari pemimpin yang agung untuk tatapan para pemimpin yang bakal dipilih nanti.

  1. Khalifah pertama iaitu Abu Bakar berkata ketika dipilih sebagai pemimpin, “Wahai semua manusia,sesungguhnya aku telah diangkat menjadi pemimpin kalian,tetapi aku bukanlah orang terbaik dikalangan kalian.Jika kalian melihat aku berada diatas kebenaran,dan jika kalian melihat aku berada dalam kebatilan,maka luruskanlah aku.Taatlah kepadaku selagi aku takut pada Allah ditengah kalian,dan jika aku derhaka kepada Allah,maka tidak ada kewajiban bagi kalian untuk mentaatiku.”
  2. Khalifah kedua pula iaitu Umar al-Khatab berkata, “Semoga Allah merahmati seseorang yang menunjukkan kekurangan diriku kepadaku.”
  3. Khalifah keempat iaitu Saidina Ali bin Abi Thalib pernah berkata, “Engkau benar dan aku salah” ketika ada seseorang yang menyanggah perkataan beliau.


Firman Allah ini ditujukan kepada rakyat yang memilih pada pilihanraya tahun ini.

“kepada Fir'aun dan pemimpin-pemimpin kaumnya, tetapi mereka mengikut perintah Fir'aun, padahal perintah Fir'aun sekali-kali bukanlah (perintah) yang benar. Ia berjalan di muka kaumnya di hari kiamat lalu memasukkan mereka ke dalam neraka. Neraka itu seburuk-buruk tempat yang didatangi.”


Hadith ini pula ditujukan kepada Pemimpin:

“Sesungguhnya didalam neraka jahanam ada sebuah lembah.Dalam lembah itu ada sebuah sumur yang dipanggil Habhab.Ada hak bagi Allah untuk menempatkan didalamnya setiap pemimpin yang bersenang-senang lagi menentang kebenaran.”(HR al-Hakim dan At-thabrani)



Artikel yang disaran untuk dibaca oleh paradigma:

Akauntabiliti dan Ketelusan di bumi Kuffar

Negara Islam Tidak Sesuai di Malaysia?

Lawan Macam Anak Jantan


No comments:

Post a Comment