Sunday, March 16, 2008

Penerangan ringkas


Sebuah penerangan ringkas:Maulid Rasul


Paradigma menyarankan 3 link ini untuk dibaca sempena kedatangan 12 RABIUAWAL.Ketiga-tiga ini adalah kajian ringkas penulis yang pernah dihasilkan(telah dibahagikan kepada tiga untuk memudahkan pembacaan),moga bermanfaat kepada semua.

p/s: Artikel-artikel ini adalah artikel ketika saya baru mula berjinak dengan dunia penulisan.Gaya bahasa dan cara pengolahan juga berbeza dengan sekarang,jika ada terdapat kesalahan dan sebagainya,saya mengalu-alukan pembetulan dari para pembaca.


Maulid Rasul : 1

Maulid Rasul : 2

Maulid Rasul : 3


Dibawah ini adalah artikel yang sama,cuma bezanya artikel dibawah ini tidak dibahagikan kepada 3 seperti diatas.Sekian.


Menjelang Maulidur Rasul
oleh:Yussamir Yusof
Cyberjaya
www.yussamir.com


12 RabiulAwal menjelang lagi,pasti ramai sudah dapat tangkap apa yang nak saya utarakan pada artikel kali ini,tapi artikel kali ini akan membincangkannya dalam skop yang lebih luas dan ilmiah.Maulidur rasul ataupun kelahiran nabi saban tahun kita sambut,pelbagai acara kita lakukan dan nikmati sempena Maulidur rasul,tapi sedar tak sedar kita sendiri tidak tahu siapa itu Muhammad Bin Abdullah.

Dikesempatan ini saya akan memperkenalkan siapa itu Muhammad Bin Abdullah dan asal-usul perayaan maulidur Rasul ini.Selain itu saya juga akan mengupas Tarikh sebenar kelahiran Nabi dan pendapat dari beberapa ulama mengenai hukum menyambut Maulidur rasul

Nama sebenar baginda adalah Muhammad Bin Abdullah bin Abdul Muthalib(yang sebenarnya Syaibatul Hamd) bin Hisyam Bin Abdul Manaf (nama sebenarnya Al-Mughirah) Bin qushayyi(nama sebenarnya Zaid) Bin Kilab Bin Murrah Bin Kinanah Bin Khuzaimah Bin Mudrikah Bin Ilyas BinMudhar Bin Nazar Bin Mu’iddu Bin Adnan[1]

Kita semua sudah sedia maklum bahawa kelahiran nabi besar kita adalah 12 Rabiul Awal tapi sebenarnya tarikh itu diperselisihkan dan ia sebenarnya tidak tepat dan sebenarnya kelahiran baginda adalah 9 Rabiul awal dan ia telah di persetujui oleh beberapa ulama iaitu :

Humaidi, Uqail, Yunus bin Yazid, Ibnu Abdillah, Ibnu Hazam, Muhammad bin Musa Al-Khuwarazmi, Abdul Khattab Ibnu Dihyah, Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qayyim, Ibnu Kathir, Ibnu Hajar dan Badruddin `Aini[2] .

Ia diperkuatkan lagi berdasarkan kajian yang dibuat oleh sarjana Islam yang bernama Muhammad Pasya seorang ahli falak Mesir.Kajian yang dibuat adalah cuba menentukan tarikh gerhana matahari dan gerhana bulan yang berlaku semenjak zaman Nabi s.a.w. hingga ke zaman beliau.

Berdasarkan kajian beliau, hari Isnin tidak mungkin bertepatan dengan 12hb. Rabiul Awwal mengikut perkiraan bagaimanapun hari isnin pada bulan berkenaan (Rabiul Awwal) ialah jatuh pada 9 haribulan. Beliau mengemukakan beberapa alasan untuk menyokong hasil kajiannya. Antara alasan-alasan yang dikemukakan oleh Mahmud Pasya ialah:

  1. Dalam Sahih Bukhari disebut ketika anak Rasulullah saw iaitu Ibrahim wafat, telah berlaku gerhana matahari iaitu pada tahun ke 10 Hijrah dan Nabi Muhammad saw ketika itu berusia 63 tahun.
  1. Berdasarkan kaedah kiraan falak, diketahui bahawa gerhana matahari yang berlaku pada tahun 10H itu adalah bertepatan dengan 7hb. Januari 632M pukul 8.30 pagi.
  1. Berdasarkan kepada kiraan ini, sekiranya kita undurkan 63 tahun ke belakang mengikut tahun qamariah,maka kelahiran Nabi saw jatuh pada tahun 571M. Berdasarkan kira-kira yang telah dibuat beliau, 1hb.Rabiul Awwal menepati 12hb. April 571M.
  1. Perselisihan pendapat berlaku tentang tarikh kelahiran Nabi saw, walau bagaimanapun semua pihak telah sepakat mengatakan ia berlaku pada hari Isnin bulan Rabiul Awwal tersebut. Tetapi Mahmud Pasya mendapati hari Isnin jatuh pada 9hb. Rabiul Awwal bersamaan 20hb. April 571M. Ia diperkuatkan lagi dengan pendapat ulama-ulama muktabar yang telah disebutkan tadi di atas.

Di antara penulis sirah mutaakhir yang menyokong pendapat ini ialah Syeikh Muhammad Al Khudhori Bik[3], Safiyyuul Rahman Al Mubarakfuri[4], `Allamah Sibli Nu’mani[5], dan Maulana Abdul Kalam Azad[6].

Kesimpulannya Kelahiran nabi adalah 9 Rabiul Awal bukanlah 12 Rabiul awal,dan pendapat ini diperkuatkan lagi dengan pandangan Syeikh Muhammad Bin Salleh Al-Utsaimin berkata[7] bahawa tarikh yang paling tepat adalah 9 rabiul awal dan 12 rabiulawal adalah tidak tepat.Artikel yang seterusnya akan saya akan paparkan sejarah siapa yang memulakan sambutan Maulidur Rasul ini dan apakah hukumnya menurut pandangan syariat.

Mula Berkembangnya Peringatan Maulid Nabi Muhammad saw

Al-Hafizh Ibnu Katsir berkata[8], “bahwa Daulah Fathimiyyah ‘Ubaidiyyah nisbah kepada ‘Ubaidullah bin Maimun Alqadah Alyahudi yang memerintah Mesir dari tahun 357 H-567 H. Merekalah yang pertama kali merayakan perayaan-perayaan dengan banyak sekali diantaranya perayaan Maulid Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam.” Keterangan ini ditulis juga oleh Al-Maqrizy[9] , Syaikh Muhammad Bakhit Al-Muthi’i mufti Mesir[10] , dan Syaikh ‘Ali Mahfudz menyetujui mereka[11]. Jadi yang pemula mensyariatkan perayaan ini adalah orang-orang Zindiq (menampakkan keislaman untuk menyembunyikan kekafiran) Al-‘Ubaidiyyun dari Syi’ah Rafidhah keturunan Abdullah bin Saba Al-Yahudi. Mereka tidak mungkin merayakan Maulid Rasul karena cinta kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, tetapi mempunyai agenda yang tersembunyi.

Salehudin al-Ayubi

Namun ada yang berpendapat[12] bahawa perayaan ini dimulakan oleh Salehudin Al-Ayubi ketika itu beliau memegang jawatan sebagai Gabenor di Haramain(Makkah dan Madinah) dari tahun 1174-1193 M atau 570-590 H pada Dinasti Bani Ayyub. Salahuddin mempunyai niat atau berpendapat semangat juang umat Islam harus dihidupkan kembali dengan cara mempertingkatkan kecintaan umat kepada Nabi mereka. Salahuddin memperingatkan umat Islam di seluruh dunia agar hari lahir Nabi Muhammad SAW, 12 Rabiul Awal (tarikh ini sudah kita bincangkan sebelum ini) kalender Hijriyah, yang setiap tahun berlalu begitu saja tanpa diperingati, kini harus diraikan.

Ketika Salahuddin meminta persetujuan dari khalifah di Baghdad yakni An-Nashir, ternyata khalifah setuju. Maka pada musim ibadah haji bulan Dzulhijjah 579 H (1183 Masehi), Salahuddin sebagai gabenor haramain (dua tanah suci, Makkah dan Madinah) mengeluarkan arahan kepada seluruh jemaah haji, agar setelah kembali ke kampung halaman masing-masing segera mempersiapkan diri untuk menyambut perayaan maulidur di mana saja berada,dan bahawa mulai pada tahun 580 Hijriah (1184 M) tanggal 12 Rabiul-Awal dirayakan sebagai hari Maulid Rasul dengan berbagai kegiatan yang membangkitkan semangat umat Islam.Namun perlu diingatkan disini bahawa sambutan yang dilakukan Al-Ayubi ini mendapat tentangan dari para ulama .Antara sebab para ulama menentang adalah sejak zaman Nabi peringatan seperti itu tidak pernah ada. Lagi pula hari raya rasmi menurut Islam cuma ada dua, yaitu AIdil Fitri dan AIdil Adha. Akan tetapi Salahuddin kemudian menegaskan bahawa perayaan Maulid Nabi hanyalah kegiatan yang menyemarakkan syiar agama, bukan perayaan yang bersifat ritual, sehingga tidak dapat dikategorikan bid`ah yang terlarang.

Antara kegiatan yang diadakan oleh Sultan Salahuddin pada peringatan Maulid Nabi yang pertama kali tahun 1184 (580 H) adalah menyelenggarakan sayembara puisi dan penulisan riwayat Nabi beserta puji-pujian bagi Nabi dengan bahasa yang seindah

Mungkin.itu lah serba ringkas sejarah permulan Maulidur rasul,dan artikel ini bukanlah satu artikel yang mutlak mengatakan “memang ini lah sejarahnya” tapi ia sekadar satu usaha pengkajian ringkas saya bagi memberikan Information kepada para pembaca,jika ada kesilapan fakta dan sebagainya maka saya sangat mengalu-alukan pembetulan artikel ini.Dan artikel seterusnya kita akan lihat apa pula pandagan para ulama silam dan masa kini tentang menyambut perayaan Maulidur rasul ini

Hukum perlaksanaan sambutan Maulidur rasul

Pada mulanya saya mahu menyatakan 3 pendapat dalam artikel kali ini,tapi bila saya memiakirkannya kembali saya rasakan dengan ruang yang tidak mengzinkan dan masa yang suntuk maka saya akan memberikan anda semua dengan pendapat ketiga iaitu pendapat golongan yang bersederhana.Iaitu tidak mengharamkan secara mutlak dan juga tidak membenarkannya secara mutlak.

Sejak kebelakangan ini ramai reformis-reformis Islam ghairah untuk berdakwah dan menegakkan islam,tapi pendekatan mereka tidak selari dengan naluri Islam itu sendiri.Lagi-lagi jika kita bangkitkan soal sambutan Maulidur Rasul,bilamana saya perkatakan ini tidaklah saya berniat untuk merendahkan semangat mereka sedangkan saya juga salah seorang dari mereka yang mahu melihat keagungan Islam kembali.Tapi kita perlu ingat dan sedar bahawa pemikiran kita mestilah tidak terlalu rigid dalam membincangkan Islam yang kadang-kadang kita bercakaran hanya dek kekhilafan diantara para ulama.Mengapa sampai begitu wahai muslimin?

Allah berfirman ,"Berpegangl ah kamu pada tali Allah dan janganlah kamu bercerai-berai" (Ali-Imran: 103)

Bila membincangkan mengenai Maulidur rasul,ramai yang beraggapan bahawa saya akan mengatakan tidak boleh atau mereka menganggap saya akan berpegang pada hujah Bin Baz ,Syeikh Utsaimin(moga Allah sentiasa merahmati ulama-ulama yang hebat ini) dan lain-lain yang mengharamkan sambutan ini.Tapi saya tidak,kerana dalam permasalahan ini,terdapat beberapa pintu untuk kita masuki dan perbincangkan perihal hal ini.

Saya suka membawakan satu komentar dari Imam Mutawalli Sha'rawi,menurut beliau[13], "Jika setiap kejadian yang tidak bernyawa sekalipun, bergembira dengan kelahiran baginda (s.a.w) dan semua tumbuh-tumbuhan pun bergembira malahan semua binatang pun bergembira dan semua malaikat pun bergembira dan semua jinn Islam bergembira diatas kelahiran baginda (s.a.w), kenapa kamu menghalang kami daripada bergembira dengan kelahiran baginda (s.a.w)?"

Dalam sebuah hadith sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah (s.a.w) telah bersabda,"Tidak sempurna iman kamu sehingga aku lebih dicintainya daripada anak, ibu bapa dan manusia seluruhnya". Dalam sebuah hadith lain yang diriwayatkan oleh Bukhari Rasulullah (s.a.w) berfirman,"Tidak sempurna iman kamu sehingga aku kamu lebih cintai daripada diri kamu sendiri."

Bertitik tolak daripada hadis tersebutlah Umat Islam kini tercari-cari bagaimana cara untuk kita mengingatkan kembali Umat Islam agar mencintai Nabi SAW dan memberikan kesedaran dan kefahaman kepada Umat Islam tentang perjuangan dan pengorbanan baginda dalam menyebarkan Islam.(lagi-lagi lah dalam zaman ini yang sudah ramai yang jauh dari cahaya Iman).

Dan persoalann ini juga telah bermain didalam minda Salahudin Al-ayubi ketika umat Islam sedang berjuang keras mempertahankan diri dari serangan tentara salib Eropah, yakni dari Prancis, Jerman, dan Inggris. Kita sudah maklum bahawa zaman itu dikenali sebagai Perang Salib atau The Crusade. Pada tahun 1099 M tentara salib telah berhasil merebut jerusalem dan menyelinap masuk ke Masjidil Aqsa .Umat Islam saat itu kehilangan semangat perjuangan dan persaudaraan ukhuwah. Secara zahir memang umat Islam terpecah-belah dalam banyak kerajaan dan kesultanan. Walaupun ada satu khalifah iaitu Dinasti Bani Abbas di kota Baghdad sana, namun hanya sebagai lambang persatuan spiritual.Dan disebabkan itu Salahudin Al-Ayubi mengadakan Sambutan Maulidur Rasul bagi membangkitkan semula semangat para pejuang Islam dan juga umat Islam ketika itu[14].

Menyambut sekadar mengingati

Kita menyambut Maulidur rasul bukanlah untuk menjadikannya salah satu perayaan ibadah tapi hanya sekadar untuk mengingati dan mensyukuri akan kelahiran Nabi kita yang menjadi pembimbing kita keluar dari kegelapan. Menurut Ibnu al-Hajj[15], "Menjadi satu kewajiban bagi kita untuk membanyakkan kesyukuran kita kepada Allah setiap hari Isnin bulan Rabi'ul Awwal kerana Dia telah mengurniakan kepada kita nikmat yang besar iaitu diutusNya Nabi (s.a.w) untuk menyampaikan Islam kepada kita dan menyebarkan islam.

Dengan adanya sambutan Maulidur rasul maka kita akan dapat memperkenalkan muslimin siapa itu Muhamaad dan secara tak langsung kita akan membuatkan hati Muslimin tergerak untuk berselawat keatas Nabi (s.a.w) ,meniru akhlak nabi dan meniru segala perbuatan baginda dan memuji baginda yang merupakan satu perkara yang diarahkan oleh Allah di dalam ayat,"Sesungguhnya Allah dan para Malaikat berselawat keatas Nabi, wahai orang-orang yang beriman ! berselawatlah kamu dan berilah salam keatasnya"[16]. Berkumpul beramai-ramai dan mengingati Nabi (s.a.w) akan membuat kita mudah untuk mendoakan baginda serta berselawat dan memuji-muji baginda. Suruhan itu pula dinyatakan dalam keadaan jamak (ramai - 'plural') didalam kaedah nahu bahasa Arab (sila rujuk ayat al-Quran) : Allah dan MalaikatNya berselawat dan memuji Nabi - didalam satu perkumpulan yang ramai. Adalah tidak benar untuk menyatakan bahawa selawat keatas Nabi (s.a.w) hanya boleh dilakukan secara bersendirian.

Dan kemudian bila kita rujuk kembali didalam sahih Bukhari berkenaan dengan Abu Lahab yang akan dihentikan siksaan kubur yang diterimanya, kerana beliau telah membebaskan hambanya, Thuwayba yang telah mengkhabarkannya kelahiran anak saudaranya, Nabi Muhammad (s.a.w). Hadith ini terdapat didalam kitab Nikah oleh Bukhari , Dan kemudian Ibnu Kathir pula membicarakannya didalam kitab-kitabnya Sirat al-Nabi Jilid 1: ms 124, Mawlid al-Nabi ms 21 dan al-Bidaya ms.272-273. Seorang hafiz (hafal al-Quran), Shamsuddin Muhammad ibn Nasiruddin ad-Dimashqi berkata[17], "Jika seorang kafir yang memang dijanjikan tempatnya di neraka dan kekal didalamnya "hancur tangan-tangannya" ; diizinkan untuk direhatkan daripada siksa kubur setiap hari Isnin kerana bergembira dengan kelahiran Ahmad, inikan pula hamba yang seluruh hidupnya bergembira dan bersyukur dengan kehadiran Ahmad dan meninggal dengan menyebut "Ahad"? Tentu lebih lagi ganjarannya”.

Boleh diperkatakan disini bahawa sambutan ini dilakukan adalah semata untuk Memperingati hari kelahiran baginda dan ia secara tidak langsung akan membuka ruang bagi kita untuk memperingati perkara-perkara lain yang berkaitan dengan baginda. Apabila ini kita lakukan, Allah akan redha pada kita, kerana kita akan lebih bersedia untuk mengetahui sirah baginda dan lebih bersedia untuk mencontohi dan mengamalkan akhlaq baginda dan memperbetulkan kesilapan kita. Itulah sebabnya, kenapa sambutan hari lahir baginda merupakan satu rahmat buat kita semua.Kerana baginda adalah ikutan kita dan ia mempunyai akhlak yang mulia sepertimana Firman Allah didalam Al-Quran, "Sesungguhnya engkau mempunyai akhlaq yang mulia" (al-Qalam:4)

Dan bila kita melewati kembali sirah Nabi,antara cara Nabi mahu meningkatkan semangat juang para sahabat yang lain ialah memuji-muji diri baginda dan bercerita mengenai akhlah baginda dengan bersayembara syair.Ini telah dinyatakan oleh Al-hafiz Ibnu Kathir didalam kitabnya bahawa para Sahabat ada meriwayatkan bahawa Nabi (s.a.w) memuji nama baginda dan membaca syair mengenai diri baginda semasa peperangan Hunayn untuk membakar semangat para Sahabat dan menakutkan para musuh. Pada hari itu baginda berkata,"Aku adalah Rasulullah! Ini bukanlah dusta. Aku anak Abdul Mutalib .Rasulullah (s.a.w) sebenarnya amat bergembira dan menyenangi mereka yang memuji baginda kerana ianya merupakan perintah Allah dan baginda memberi kepada mereka apa yang Allah anugerahkan kepada baginda. Apabila kita bersama-sama berkumpul untuk mendekati Nabi (s.a.w), kita sebenarnya juga, melakukan sesuatu untuk mendekatkan diri kita kepada Allah justeru kerana mendekati Nabi (s.a.w) akan membuatkan Allah redha kepada kita.

Terdapat juga hadith riwayat Bukhari didalam al-Adab al-mufrad(bukan semua hadis didalam ini adalah sahih) dan kitab-kitab lain, Rasulullah (s.a.w) bersabda,"Terdapat hikmah di dalam syair"; dan kerana itu bapa saudara Nabi (s.a.w) al-'Abbas mengarang syair memuji kelahiran Nabi (s.a.w) seperti didalam rangkap berikut:

Dikala dikau dilahirkan , bumi bersinar terang Hinggakan nyaris-nyaris pasak-pasak bumi tidak mampu untuk menanggung cahaya mu, Dan kami dapat terus melangkah Lantaran kerana sinar dan cahaya dan jalan yang terpimpin[18].

Sekarang kita sudah tahu mengapa sambutan ini dibenarkan dan diperbolehkan tapi kita semua kena ingat bahawa kebenaran ini bukanlah secara mutlak tapi tetap dibatasi dengan syarak.Apa yang dikatakan dengan syarak ialah kita tidak mencipta atau melakukan satu ibadah khusus ketika Sambutan itu dilaksanakan.Misalnya kita mewajibkan puasa pada Mualidur rasul atau kita diwajibkan berakikah dan sebagainya.Tapi kita lebih kepada memperingatkan kembali dan menyoroti kembali siapa itu Muhammad rasul Allah.Dan sambutan ini bukan sahaja tertakluk pada hari tertentu saja,tapi sepatutnya sambutan ini perlu dilakukan acap kali agar kita hati kita sentiasa bersama Allah dan Junjungan besar kita.Dalam majlis-majlis sambutan ini kita perlu dedahkan masyarakat tentang segala perilaku nabi dan sebagainya,dan bagi peminat sunnah dan mereka yang betul-betul bersemangat dalam menghidupkan sambutan ini maka saya galakan juga untuk berpuasa setiap hari isnin kerana hari ini adalah juga hari kesukaan baginda. Muslim menulis didalam Sahihnya, Rasulullah (s.a.w) bersabda, Aku telah dilahirkan pada hari Isnin dan pada hari yang sama juga wahyu yang pertama telah diturunkan kepadaku." Rasulullah (s.a.w) mengutamakan hari kelahiran baginda dan memuji serta bersyukur kepada Allah, dengan berpuasa pada hari tersebut (Isnin) seperti yang diriwayatkan oleh Abu Qatada didalam sebuah hadith.

Oleh itu berdasarkan pada pendapat para ulama dan dalil-dalil maka kesimpulannya sambutan ini boleh diadakan tapi ia perlu diawasi dan diperjaga agar sambutan ini tidak tercemar dengan kegiatan yang tidak membawa kepada penghayatan Sirah nabi,dan kandungan program-program juga perlu ditekankan yang berbentuk mengenali nabi.Dan saya berharap artikel ini dapat merungkai persoalan dalam minda kita semua sekian lama ini dan jadilah muslim yang berfikiran terbuka dan sentiasa berlapang dada dalam persoalan khilafiah.Dan sekall lagi saya katakan bahawa jika ada kesilapan fakta dan sebagainya,saya dengan rendah diri memohon agar para pembaca segera maklumkan pada saya.Akhir sekali “jika pemahamanku silap,aku akan menariknya semula semasa hidupku atau sesudah matiku“(imam syafie)








_____________________________________________________________


[1] (rujuk kitab Feqh Sirah Said Ramadhan Al-buthi).Nasab ini diperolehi melalui hadis nabi yang diriwayatkan oleh Muslim,Sabda Nabi “sesungguhnya Allah telah memilih Kinanah dari anak Ismail dan memilih Quraisy dari Kinanah,kemudian memilih Hasyim dari Quraisy dan memilihku dari Bani Hasyim.

[2] (Al-Bidayah wa An Nihayah, jilid 2 halaman 260-261)

[3] “Nurul Yaqin” (hal. 6)

[4] Ar Rahiqul Makhtum” (halaman 54)

[5] “Siratun Nabi” (jilid 1 hal. 176)

[6] “Rasul Rahmat” (hal. 37)

[7] Majalah Al-Mujahid, edisi 22, Syaikh Ibnu Utsaimin

[8] Al-Bidayah wan Nihayah (11\172)

[9] Al- Mawa’idz wal I’tibaar (1\490)

[10] Ahsanul Kalam fiima Yata’allaqu bissunnah wal Bid’ah minal Ahkam [halaman 44- 45]

[11] Al-Ibdaa’ fii Madhaarr Al-Ibtidaa’ [halaman 251]

[12] ibid

[13] kitabnya iaitu Ma'idat al-Fikr al-Islamiyya (ms.295)

[14] ibid

[15] al-Madhkal (jilid 1, ms. 261)

[16] Al-Ahzab:56

[17] kitabnya Mawrid as-sadi fi Mawlid al-Hadi

[18] Petikan ini tercatat didalam kitab Imam as-Suyuti, Husn al - Maqsid ms.5 dan didalam kitab Ibnu Kathir, Maulid ms.30 dan juga didalam kitab Ibnu Hajar, Fath al-Bari.

No comments:

Post a Comment